Sunday, March 25, 2012

Mesyuarat Agung PIBG

24 Mac 2012 (Sabtu) - Pemilihan Agung PIBG bagi sesi 2012/2014 menyaksikan hampir kesemua AJK lama dikekalkan. YDP yang dipilih iaitu Pn. Nur Atikah Bt Abdullah sekali lagi diberi mandat dan kepercayaan untuk menerajui persatuan ini. Semua ahli yang dilantik berjanji akan memberi kerjasama kepada pihak pengurusan sekolah untuk meningkatkan kemajuan sekolah di masa-masa akan datang.

Saturday, March 24, 2012

Bulan Sains & Inovasi

23 Mac 2012 (Jumaat) -  Majlis Pelancaran Kempen Bulan Inovasi dan Kesedaran Kepentingan Alam Sekitar 2012 telah diadakan di Dewan Perdana SMK Bandaraya Kota Kinabalu. Majlis ini dirasmikan oleh Yang Berbahagia Datuk Jumat Hj. Idris, Ketua UMNO Bahagian Sepanggar. Turut hadir bersama dalam majlis ini ialah YDP PIBG Nur Atikah Bt Abdullah dan para jemputan khas. Taklimat ringkas telah disampaikan oleh En. Raymond Thong selaku wakil Seeds of Hope tentang kesedaran kepentingan alam sekitar. Para ibubapa dan para jemputan khas juga mengambil kesempatan ini mengunjungi panel pameran yang disediakan oleh SGM (Soka Gakkai Malaysia). AJK Pelaksana majlis dengan sukacitanya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan majlis pada hari ini.

Sunday, March 11, 2012

Majlis Jasamu Dikenang

10 Mac 2012 (Jumaat) – Majlis Jasamu Dikenang telah diadakan pada pagi ini di dewan sekolah. Majlis ini diadakan untuk meraikan  7 orang staf yang telah bertukar ke sekolah lain kecuali kak siti (nama glamour) yang telah tamat tempoh perkhidmatan. Staf yang lain yang dimaksudkan ialah Cikgu Johny Suah, Cikgu Jeaneatte Lai, Cikgu Inismawati, Cikgu Nur Halizah Ismail, En. Giniso dan  En. Kassim. Majlis turut dihadiri oleh YDP PIBG SMK Bandaraya Kota Kinabalu, Pn. Nur Atikah Binti Abdullah. Pihak sekolah & komuniti ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mereka kerana telah banyak mencurahkan jasa dan sumbangan bermakna  kepada sekolah. Semoga mereka akan berkhidmat dengan lebih cemerlang dan berjaya dalam kerjaya masing-masing pada masa-masa akan datang.

Sunday, March 4, 2012

MERENTAS DESA SMKBKK

3 Mac 2012 (Sabtu) -  Lapan buah rumah sukan merebut kemenangan dalam acara Merentas Desa peringkat SMKBKK. Acara ini bermula pada jam 8.00 am dan disertai oleh pelajar-pelajar dan ibu bapa. Turut serta ialah YDP PIBG SMKBKK Pn. Nur Atikah Binti Abdullah. Acara ini berjalan dengan baik dari awal hingga akhir perlumbaan dengan dibantu oleh pihak polis dan polis trafik.

Majlis penyampaian hadiah dan cabutan bertuah telah disempurnakan oleh Pn. Nur Atikah Binti Abdullah selaku YDP PIBG sekolah ini. Keputusan keseluruhan menyaksikan rumah sukan Dato Onn Jaafar muncul sebagai Johan dan diikuti oleh rumah sukan Tun Hussein dan Tun Ghafar Baba di tempat kedua dan ketiga. Syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat. Majulah sukan untuk Negara!

Thursday, March 1, 2012

LESSON STUDY TEAM TEACHING BI PMR

29 Feb. 2012 (Rabu) – Program PLC (S) 2 Kelas Terbuka PLC: Lesson Study Team Teaching Bahasa Inggeris PMR telah berjalan dengan lancar. Program ini dimulakan dengan taklimat yang disampaikan oleh Dr. Shirley Tay Siew Hong selaku pengetua SMK Bandaraya Kota Kinabalu dan Cikgu Elsie Sharon Giluk iaitu Ketua Bidang Sains dan Matematik SMK Bandaraya Kota Kinabalu.

Selepas taklimat, sesi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris telah disampaikan oleh Cikgu Dyna dan Cikgu Lola berserta dengan pelajar-pelajar dari 3 Carnation. Semasa sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan, penilaian turut dibuat oleh para guru, Ketua Bidang, Pengetua dan pakar rujuk yang dijemput khas untuk proses penambahbaikan pada masa-masa akan datang.

Dalam sesi refleksi, guru-guru, Ketua Bidang dan Pengetua dari PLC (S) 2 serta pakar rujuk masing-masing diberi peluang untuk memberi respon dan ulasan tentang sesi pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan tadi.

Turut hadir bersama dalam majlis penutupan ialah Pn. Nur Atikah Abdullah selaku YDP PIBG SMK Bandaraya Kota Kinabalu. Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Pegawai Pelajaran Daerah Kota Kinabalu, Tuan Haji Bad Hamid Bin Haji Musli.